Pages

14 May 2012

Bila Perempuan Rasa Tidak Selamat Dalam Hubungan

Kadangkala semuanya baik.
Kadangkala semuanya biasa-biasa sahaja.
Tapi entah bagaimana, kita boleh dengar pasangan yang baik berpisah, sahabat baik berpatah arang ataupun keluarga bahagia berpecah belah. Termangu melihat perkara sedemikian rupa bagaikan adakah selama ini hanya satu persembahan semata-mata pada dunia. Biar di mata orang lain nampak gembira, padahal dalam diam, memendam duka nestapa.


loveworks

Lelaki dan perempuan.
Dua jantina berbeza dan mempunyai sifat berbeza. Jadi, sebagai seorang perempuan (wah, ini pengakuan!) - aku suka untuk menulis tentang bagaimana aku melihat perempuan sebagai ciptaan yang unik. Bukan aku kata lelaki tidak unik. Lelaki juga unik, tetapi nanti mungkin aku layak menulis tentang perempuan buat masa ini - memandangkan secara tersiratnya, aku sedang menjawab persoalan yang diajukan pada aku. Kalau kamu baca, mungkin kamu tahu yang aku menjawab pertanyaan kamu wahai gadis-gadis.


Perempuan, secara asasnya mahukan perhubungan yang selamat. Kebanyakan daripada mereka mempunyai pemikiran tipikal bahawa perempuan biasanya yang ditunggu, yang diberikan perhatian serta diperlukan. Ada suatu naluri dalam diri yang menyatakan sedemikian - bahawa, wanita perlu dijaga. Jadi, mungkin disebabkan itu, wanita paling mudah untuk rasa tidak selamat dalam perhubungan.


Cinta sebagai contohnya. Perempuan sentiasa mahukan keadaan yang tidak terjejas dalam melalui suatu perhubungan. Kalau tidak, kita boleh lihat perempuan itu bekerja keras untuk berpura-pura yang semuanya dalam keadaan baik dan menyembunyikan keadaan yang dia rasakan tidak selesa dan berunsur negatif.


Bila seorang perempuan itu merasakan bahawa dirinya tidak selamat dalam sesuatu perhubungan itu, antara yang mudah dikesan adalah dia akan mengelakkan melakukan perkara yang diperlukannya - keluar bersama, hubungan intim (jika sudah berumahtangga) dan menyalurkan ketegangan diri melalui gila buat sesuatu perkara lain - mengamuk, gila bekerja, terlampau mengambil berat, ataupun membeli belah dan sebagainya - sebagai satu laluan keluar agar dia akan melupakan tekanan rasa tidak selamat tersebut. Tetapi, dalam keadaan sedemikian juga, akibat tekanan terlampau - terlalu memikirkan sesuatu - ia akan menjejaskan kesihatan dan membawa akibat yang lebih buruk.


Ya.
Macam yang dituliskan di awal tadi - kita boleh lihat sekeliling, orang yang tidak pernah bertengkar boleh berakhir di ruang mahkamah syariah dengan menuntut penceraian, pasangan yang bahagia dan tiba-tiba dengar dimadukan dengan alasan bosan ataupun bermain kayu tiga dan sebagainya. Dalam kebanyakan kisah tersebut, kebanyakan perempuan biasanya menyimpan perasaan tidak selamat mereka, memendam rasa kurang senang - hanya untuk mengelakkan pertengkaran. Demi untuk hidup baik-baik sahaja, dalam diam, mereka sudah jadi lali, hingga hilang rasa untuk mencintai dan dicintai - hilang nilai kasih sayang dan yang tinggal mungkin perasaan kosong semata-mata.


Dan, apa jadi apabila yang negatif mengatasi yang positif?
Perasaan kurang senang melebihi rasa kasih sayang?
Cinta mati.
Kasih sayang hilang.
Bahagia berlalu pergi.


Perlu diakui bahawa mengelakkan pertengkaran itu perkara baik tetapi apabila ia dipendam hingga tertekan sehingga meletus pada suatu masa yang kurang sempurna, ia pastinya membawa kepada perkara yang lebih buruk pada penghujungnya. Mengalah juga baik, tetapi perlu ditimbal balik dengan meluahkan secara berdepan - komunikasi dua pihak untuk mengelakkan ada hati yang rabak.





Jadi, bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini?


Perempuan perlu bercakap tentang perasaan mereka tetapi awas, jangan sampai disalah ertikan. Ya, meluahkan dalam erti kata, membersihkan diri daripada perasaan kurang enak - muhasabah diri mungkin lebih tepat.
Pasangan boleh memberikan sokongan moral dengan mendengar serta menyedari bahawa, mungkin dengan pertengkaran itu, sebenarnya hanyalah cara si perempuan itu mahu diri dia didengari. Luahan dia tidak dianggap sebagai bebelan yang menyakitkan hati. Mungkin, dengan memberikan sokongan sedemikian rupa, ia akan membantu lelaki merasa lebih bebas daripada bebanan akibat terlalu memikirkan, kenapa perempuan bersikap sedemikian rupa.
Perempuan perlu memahami bahawa dengan bersikap menyimpan dan mengamuk tidak tentu hala, boleh menyebabkan lelaki rasa dikongkong dan cepat bosan. Bercakap dengan baik dapat membantu lelaki untuk lebih merasa apa yang dialami oleh perempuan sebenarnya. Dan, perlu ingat bahawa, sesetengah lelaki kurang gemar perempuan beritahu apa yang perlu mereka lakukan.

Ada pelbagai cara lain, mengikut situasi sebenarnya, tetapi ini sahaja yang aku mampu kongsi buat masa ini. Maaf, kesibukan melanda membuatkan aku cuma mampu membalas pertanyaan dengan ayat yang kurang sempurna dan mungkin pendek sahaja.


Nota Kaki :
Keadaan yang dijangka sudah muncul semula. Tegarkah untuk berkelakuan baik dan anggap semuanya baik-baik sahaja? Entahlah. Tengok keadaan dan keperluan aku rasa.


p/s : Perlu banyakkan bersabar. Benda yang baik hanya akan berlaku pada keadaan yang baik dan kalangan yang baik dan betul sahaja.

1 comment:

innogurl said...

true story ;3